Thursday, 16 January 2014

Cabaran Membangunkan Industri Automotif Negara


Proses industrialisasi di United Kingdom dan Amerika Syarikat bermula apabila ramai ahli sains, ahli teknologi dan ahli korporat mula mereka cipta dan mengeluarkan pelbagai mesin dan produk serta diniagakan secara besar-besaran. Proses industrialisasi ini terus merebak di kebanyakan negara Eropah dan hari ini negara-negara ini dikenali sebagai negara perindustrian serta negara maju. Mereka merancang proses industrialisasi dengan mengenal pasti perusahaan teras, iaitu perusahaan automotif sebagai indusri pemangkin bagi mencapai matlamat industrialisasi masing-masing. Walaupun proses ini bermula dengan pengeluaran tekstil abad 18 dan 19, tetapi tahap industrialisasi berlaku dengan pesat apabila mereka mula mengeluarkan dan mengeksport kenderaan automotif di pertengahan abad ke-20.

Rangkaian industri kecil dan sederhana berasaskan automotif juga terus berkembang dan menyumbang ke arah pembangunan sains dan teknologi, penyelidikan serta lebih penting lagi pembangunan tenaga manusia yang mahir, berdisplin serta berpengetahuan dalam banyak bidang sains dan teknologi yang diperlukan bagi membantu proses industrialisasi negara. Sosioekonomi mereka bertukar dan mencapai taraf pertumbuhan ekonomi yang tinggi, rakyat berpendapatan tinggi dan berilmu pengetahuan. Kini isu-isu sains, teknologi dan kejuruteraan, kemahiran tenaga kerja, mereka bentuk dan mereka cipta produk, baik pulih peralatan dan selok-belok keselamatan kenderaan bukan lagi isu pokok. Ramai melakukan sendiri baik pulih kenderaan dan menjadi hobi hari minggu masing-masing.

Negara-negara maju ini mengalihkan perhatian mereka kepada industri berteknologi tinggi seperti komunikasi elektronik, penerbangan, industri peralatan pertahanan dan penerokaan angkasa lepas berlandaskan asas sains dan teknologi mereka tercapai hasil daripada usaha membangunkan industri automotif.

Malaysia juga tidak terkecuali dengan memilih automotif sebagai industri pemangkin dalam memacu negara ke arah perindustrian. Tetapi di Malaysia kerajaan terpaksa memainkan peranan mengetuai proses industrialisasi ini, bukan pihak swasta kerana kurangnya minat dalam membangunkan industri automotif secara besar-besaran untuk membantu mencapai matlamat perindustrian negara.

Cabaran awal yang ditempuhi dalam proses industrialisasi negara ini ialah kekurangan dalam kalangan anak tempatan yang berkemampuan dan mempunyai pengetahuan serta kepakaran dalam bidang pengilangan kenderaan automotif, walaupun para graduan ramai dan terus meningkat tetapi kekurangan pengalaman mereka di bidang automotif jelas ketara.

Di samping itu kilang-kilang sokongan pembuatan komponen kenderaan hampir tidak wujud. Cabaran dan kelemahan ini tidak melemahkan kerajaan untuk terus menubuhkan industri automotif walaupun banyak pihak, seperti sesetengah ahli perniagaan, pemimpin masyarakat, pegawai atasan kerajaan mahupun para akademia menyuarakan kebimbangan mereka, sama ada Malaysia sudah bersedia menceburi bidang perindustrian besar-besaran khusus di bidang automotif.

Usaha pada awal tahun 80-an hingga pertengahan tahun 90-an membuktikan kemampuan anak Malaysia meneroka bidang automotif ini berlandaskan kejayaan Proton dan Perodua.

Walau apa pun diperkatakan, kedua-dua pengeluar automotif ini berjaya membantu meningkatkan kemampuan sains, kejuruteraan pengeluaran, membangun tenaga mahir, mempertingkatkan kemampuan teknologi dan penyelidikan di negara ini. Kemampuan ini dianggap akan berterusan kalau tidak kerana kemelut kejatuhan mata wang yang berlaku pada 1997. Akibatnya perkembangan industri automotif negara terjejas dengan ketara, di mana pasaran kenderaan mengecut dan harga komponen-komponen, khusus komponen-komponen kritikal seperti enjin dan transmisi yang masih diimport, naik melambung dan tidak dapat dikawal. Harga kenderaan meningkat dengan ketara dan yang lebih teruk moral dan harapan tenaga kerja automotif di semua peringkat menurun ke peringkat amat rendah.

Cabaran kejatuhan industri automotif negara akibat kejatuhan mata wang ditangani dengan pelbagai strategi dan mula dipulihkan secara berperingkat pada abad 20-an. Walau bagaimanapun industri automotif, yang masih belum pulih dari aspek daya saing, dibelenggu pula dengan cabaran baharu iaitu tuntutan liberalisasi perdagangan dan pasaran bebas di antara negara-negara di bawah WTO pada awal tahun 20-an.

Isu liberalisasi akan dibincangkan dengan lebih lanjut pada siri akan datang, hanya sekadar dinyatakan di sini bagi menangani isu liberalisasi, industri automotif negara tidak ada pilihan lain kecuali berusaha secepat mungkin meningkatkan daya saing mereka bagi menghadapi saingan pengeluar kenderaan automotif besar dari negara-negara maju.

Semua cabaran akan tetap diharungi bagi mempertahankan perusahaan automotif negara kerana selain ia berperanan sebagai industri pemangkin untuk memandu negara ke arah negara perindustrian dan negara maju, industri automotif adalah penting dewasa ini kerana menyediakan peluang pekerjaan sebanyak 550,000 dalam seluruh rangkaian pengeluarannya, dari pengeluaran bahan asas kepada pengeluaran komponen, pemasangan kenderaan dan perkhidmatan selepas jualan.

Malahan dalam perancangan semasa, usaha akan dipertingkatkan ke arah menghasilkan kenderaan hijau berteknologi tinggi dan baharu yang dikenali sebagai Energy Efficient Vehicle (EEV). Sekiranya perusahaan automotif negara dapat membangunkan keupayaan dan daya saing di bidang kenderaan kategori ini, peluang membuka pasaran yang lebih besar adalah cerah bagi industri automotif tempatan.
http://mai.org.my/v3/index.php?option=com_k2&view=item&id=74:cabaran-membangunkan-industri-automotif-negara

No comments:

Post a Comment