Thursday, 30 January 2014

Malaysia Hub Pengeluaran EEV


Hala tuju automotif negara yang dijelaskan melalui Dasar Automotif Negara 2014 baru-baru ini memberi penekanan kepada perusahaan automotif tempatan bagi menjadikan Malaysia sebagai pusat serantau pengeluaran kenderaan jenis "cekap tenaga" atau Energy Efficient Vehicle (EEV).
Sasaran ini berdasarkan keperluan utama negara untuk terus mempertingkatkan kepakaran dan kecekapan di dalam bidang sains dan teknologi, kejuruteraan, reka cipta dan kemampuan penyelidikan serta pembangunan dalam kalangan tenaga kerja tempatan melalui penglibatan teknologi tinggi pengeluaran kenderaan EEV ini.

Di samping memerlukan kemampuan teknologi tinggi, industri kenderaan EEV juga akan banyak bergantung kepada kecekapan dan kepakaran tenaga kerja di semua peringkat di dalam bidang teknologi pengeluaran dan ilmu pengetahuan yang belum dipraktikkan secara besar-besaran di negara ini.

Kewujudan teknologi dan pengusaha tempatan yang sedang membekal komponen-komponen kepada perusahaan pemasangan kenderaan konvensional akan terus relevan bagi menghasilkan komponen keperluan EEV, namun masih terdapat bidang-bidang teknologi khusus untuk pengeluaran komponen-komponen EEV yang belum dibangunkan.

Keperluan teknologi dan kecekapan tenaga kerja yang diperlukan dalam usaha membangunkan perusahaan kenderaan EEV ini diberikan penumpuan kepada tiga bidang perusahaan iaitu mereka bentuk, pengilangan dan perkhidmatan selepas jualan.

Klasifikasi kenderaan EEV tertumpu kepada dua ketetapan utama iaitu kenderaan yang mengeluarkan emisi udara pencemaran yang rendah atau langsung tanpa pencemaran dan kedua menggunakan bahan tenaga yang rendah untuk mencapai jarak perjalanan yang ditetapkan.

Bagi mencapai ketetapan pertama, kemampuan mereka bentuk EEV dengan menumpukan kepada pembangunan jenis enjin yang rendah pencemaran seperti yang sudah terdapat di pasaran semasa iaitu kenderaan hibrid atau enjin tiada pencemaran seperti yang sedang memasuki pasaran seperti kenderaan elektrik adalah penting.

Justeru bagi mencapai kebolehan reka bentuk EEV, negara memerlukan jurutera dan pereka yang mampu mereka enjin tersebut.

Banyak kenderaan EEV di jalanan sekarang yang masih menggunakan enjin konvensional tetapi sistem pembakaran telah dimodifikasi dan dimajukan mampu menurunkan tahap pencemaran yang dituntut oleh piawaian.

Disamping itu pembangunan enjin EEV yang menggunakan tenaga alternatif seperti gas-gas sumber industri minyak, biodiesel, Ethanol, hidrogen dan "Fuel Cell" sedang pesat dikaji dan akan ke pasaran tidak lama lagi.

Bagi mencapai ketetapan kedua pula, di mana kenderaan EEV ini mampu mencapai jarak jauh yang ditetapkan dalam perjalanan dengan menggunakan bahan atau sumber tenaga yang rendah, dua faktor penting yang menentukan kejayaan reka cipta EEV tersebut.

Pertama sistem transmisi yang sangat efisien dan kedua jumlah berat kenderaan yang direka cipta.

Sekali lagi kepakaran dari kejuruteraan mekanikal mampu mereka bentuk sistem transmisi yang efisien adalah amat diperlukan sementara bagi mengurangkan berat kenderaan EEV, daya cipta yang tinggi berserta dengan pengetahuan memilih bahan-bahan yang sesuai dan terbaik bagi pembuatan setiap komponen adalah kritikal.

Teknologi komposit dan pengetahuan ilmu "metallurgy" bagi bahan-bahan bukan besi seperti bahan aluminium dan magnesium adalah amat diperlukan supaya komponen yang dihasilkan dari bahan-bahan ringan ini akan mempunyai daya tahan dan daya mekanikal bersesuaian untuk setiap komponen yang dicipta.

Kemampuan mereka cipta akan hanya lebih bermakna sekiranya apa yang dicipta dapat dikilangkan dalam jumlah yang banyak.

Matlamat pengilangan komponen-komponen EEV ini hanya akan dapat dicapai sekiranya negara dapat melatih para jurutera pengeluaran, jurutera proses, jurutera kualiti dan sebagainya yang memenuhi kehendak industri.

Kepakaran mereka mengendalikan mesin dan robot berteknologi tinggi adalah faktor penting bagi menghasilkan komponen-komponen EEV yang berkualiti.

Tenaga kerja yang cekap dan berpengetahuan khusus di peringkat operasi dan proses pengilangan seperti para juruteknik, operator mesin dan robotik, operator pemasangan dan lain-lain juga adalah sama penting dan ramai diperlukan bagi menjayakan matlamat perindustrian kenderaan EEV ini.

Bidang-bidnag kecekapan dan pengetahuan khusus yang dikenal pasti dan akan dipromosi dalam Dasar Automotif Negara 2014 bagi memacu perkembangan industri kenderaan EEV termasuk; pakar reka bentuk, kejuruteraan dan pembikinan prototaip, kejuruteraan dan pemesinan persis tinggi, kejuruteraan faundri berasas bahan besi, kejuruteraan faundri berasas bukan besi khusus aluminium, kejuruteraan pemprosesan bahan keluli grad industri, kejuruteraan perindustrian bahan plastik dan kecekapan di bidang kejuruteraan pengujian komponen.

Adalah disasarkan seramai 6,900 pereka bentuk, 8,400 jurutera, 6,720 eksekutif, 15,000 juruteknik, 25,000 pekerja mahir dan 15,000 pekerja separa mahir di semua bidang pengeluaraan EEV, dari sekarang hingga ke tahun 2020, bagi memperkukuhkan daya saing perusahaan industri EEV tempatan.

Sementara itu seramai 36,000 juruteknik dan 54,000 pekerja mahir adalah diperlukan bagi mengembangkan sektor perkhidmatan lepas-jualan kenderaan EEV ini.

Tenaga mahir sejumlah ini adalah diperlukan bagi meningkatkan efisien dan daya saing sektor lepas-jualan terutama di dalam bidang; pembekalan komponen dan eksesori, kerja-kerja baikpulih dan pembaikan kenderaan EEV, kerja-kerja rangkaian dan dagangan komponen terpakai, penjualan kenderaan, kerja-kerja pemeriksaan kenderaan untuk piawaian, kerja-kerja kitar semula automotif dan kerja-kerja pengilangan semula komponen terpakai.

Pembangunan tenaga manusia tempatan yang dibentangkan akan membantu ke arah pengurangan sekurang-kurangnya 80 peratus pekerja asing di sektor perindustrian.

Di samping itu dengan sasaran ke arah pengeluaran kenderaan EEV para tenaga kerja yang dilatih akan termasuk ke dalam kumpulan pekerja mahir yang akan memenuhi hasrat kerajaan meningkatkan taraf pekerja yang berpendapatan tinggi.

No comments:

Post a Comment