Wednesday, 19 February 2014

Transformasi Sektor Selepas Jualan


Sektor lepas jualan di dalam ekosistem perindustrian automotif adalah amat penting bagi mewujudkan suasana perniagaan dan mempertingkatkan ekonomi tempatan. Sektor ini mampu menyediakan sejumlah 250,000 peluang pekerjaan di samping menyumbang penjanaan pendapatan dalam negara sebesar RM28.5 bilion

Skop perniagaan dalam sektor ini adalah luas, antara lain merangkumi aktiviti pengilangan komponen baharu baik pulih kenderaaan, pengilangan semula komponen terpakai, agihan pasaran, pemasangan komponen ganti dan aksesori kenderaan.

Adalah dijangkakan sejumlah 22.7juta kenderaan dimiliki rakyat Malaysia pada tahun 2020. Perhitungan ini dibuat berlandaskan kenderaan yang dimiliki kini berjumlah 2.8juta kenderaan berusia kurang darilima tahun sedang dimiliki pengguna, 2.4juta pula kenderaan berumur antara lima hingga 10 tahun. Sementara itu 1.8 juta pula dalam lingkungan umur antara 10 hingga 15 tahun dan selebihnya 3.3 juta berumur lebih dari 15 tahun.

Menyedari hakikat betapa pentingnya sektor lepas jualan automotif kepada ekonomi tempatan, Dasar Automotif  Nasional (DAN2014) memberikan penekanan untuk mempertingkatkan keupayaan perkhidmatan sektor ini. Penekanan akan ditumpukan kepada pengurursan kos yang lebih terbuka serta meningkatkan kemampuan kerja baik pulih kenderaan dan servis yang mana perkhidmatan diberikan dengan mengikut prosedur betul dan diselenggarakan mekanik terlatih. Disamping itu komponen ganti yang digunakan harus mengikut spesifikasi dan piawaian ditetapkan.

Lebih penting lagi transformasi selepas jualan ini akan memberikan fokus lebih kepada sudut keselamatan pengguna dari segi komponen ganti kenderaan baharu mahu pun yang dikilang semula, akan diuji mengikut piawaian keselamatan yang bakal ditetapkan . Ini akan dipromosi dan dilaksanakan secara berperingkat termasuk perlaksanaan polisi-polisi akhir hayat kenderaan (end-of-life vehicle, atau ELV) dan pemeriksaan kenderaan kenderaan berkala.

DAN 2014 juga menjangka perlunya kajian semula arah tuju dan rangka kerja sektor ini bagi membantu perusahaan automotif tempatan menghadapi cabaran masa depan khusus dari aspek-aspek; globalisai, liberalisasi ekonomi, kemajuan teknologi, perubahan cita rasa dan tuntutan pengguna yang sentiasa akan meningkat. Maka para pengusaha dalam sektor lepas jualan ini harus bersedia membuat perubahan untuk meningkatkan daya saing dan daya tahan masing-masing.

Justeru hala tuju lepas jualan yang didokumentasikan akan memberikan fokus kepada lima agenda.

Agenda pertama ialah membangunkan kemampuan dan meningkatkan keupayaan para pekerja, metodologi pekerjaan, penerapan menggunakan perkakas dan peralatan yang betul dan menggunakan komponen yang menepati piawaian ditetapkan.

Keutamaan akan diberikan kepada peningkatan kecekapan pembaikan dan baik pulih kenderaan yang akan menentukan kerja-kerja yang dijalankan dengan betul dan selamat. Salah satu program yang sudah dilaksanakan baik tujuan ini ialah memberi pengiktirafan dan persijilan kepada para pekerja dalam sektor lepas jualan ini yang telah mempunyai rekod perkhidmatan minima yang ditetapkan dan mampu membuktikan kecekapan sejajar dengan keperluan persijilan dibawah skim National Occupational Skills Standards (NOSS) kelolaan Kementerian Sumber Manusia.

Kedua ialah memberi fokus ke arah mempromosikan kegunaan komponen yang mendapat piawaian ditetapkan, di samping menepati ciri-ciri kualiti, keselamatan dan spesifikasi penting bagi menetukan keselamatan kenderaan yang dibaik pulih. Pemeriksaan kenderaan menerusi skim  Vehicle Type Approval (VTA) akan dipromosi agar komponen-komponen digunakan menepati piawaian . MAlaysia akan mengguna pakai piawaian keselamatan Unece di mana penyesuaian ke dalam piawaian tempatan MS akan dilaksanakan. Ini bertujuan supaya hasil ujian VTA ke atas dapat diterima oleh sistem kualiti tempatan.

Ketiga adalah memberi perhatian terhadap industri pengeluaran komponen terpakai supaya hasil keluaran dapat menepati keperluan piawaian perkhidmatan pembaikan dan baik pulih kenderaan. Bagi mencapai matlamat ini penekanan adalah diberikan melalui konsep menghijaukan industri automotif yang mana industri-industri kitar semula dan pengilangan semula automotif akan mengamalkan prosedur 3R Reduce, Reuse, Recycle) yang dipraktikkan negara maju seperti Jepun dan Eropah.

Selain itu, kenderaan yang layak digunakan telah menjadi lebih penting dari masa lalu disebabkan keselamatan pengguna dan pemeliharaan alam sekitar kenderaan sekarang ditentukan oleh teknologi kenderaan itu sendiri, bukan lagi bergantung pada kecekapan pemandu dalam mengurangkan kesilapan manusia dan kemalangan.

Kajian menunjukkan jumlah kemalangan di jalan raya adalah disebabkan masalah teknikal dan 80 peratus darinya adalah kenderaan telah berumur. Justeru, agenda keempat akan memberikan fokus mempromosi kepentingan amalan pemeriksaan dan dilaksanakan pada setiap kenderaan telah berumur. Justeru, agenda keempat akan memberikan fokus mempromosi kepentingan amalan pemeriksaan dan dilaksanakan pada setiap kenderaan mengikut skala sesuai oleh pengguna jalan raya.

Agenda terakhir mempromosikan amalan terbaik dalam pengurusan aktiviti ELV yang dibahagikan kepada dua ketogori: ELV semula jadi dan ELV pramatang. Kenderaan tua yang telah tamat kegunaannya disebabkan oleh haus dan hakisan pada sejumlah besar komponen dikategorikan sebagai ELV semula jadi, sementara ELV pramatang pula adalah kenderaan yang masih baharu, telah mengalami kemalangan di jalan raya dan tidak lagi sesuai dibaik pulih dari sudut ekonomi atau teknikal.

Dalam usaha menghijaukan aktiviti-aktiviti sektor lepas jualan automotif ini,DAN 2014 juga mendukung usaha mentransformasikan amalan-amalan untuk mengatasi masalah keperluan bekalan komponen dan pencemaran alam sekitar dengan memperkenalkan polisi-polisi sesuai bagi mengurus perjalanan aktiviti-aktiviti 3R, pengilangan semula, ELV dan VTA yang mana kesemuanya mempunyai implikasi ke atas keselamatan kenderaan dan pengguna di jalan raya.
http://mai.org.my/v3/index.php?option=com_k2&view=item&id=108:transformasi-sektor-selepas-jualan-2

No comments:

Post a Comment