Sunday, 2 March 2014

Kaji semula secara berkala


KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) pada 6 Februari melancarkan satu lagi dokumen hala tuju (roadmap) automotif yang akan menyokong perlaksanaan Dasar Automotif Nasional, (DAN 2014) yang diumumkan 20 Januari lalu.

Hala Tuju NAP 2014 dibangunkan oleh Miti dan Malaysia Automotive Institute (MAI).

Semua perlaksanaan program yang dirancang akan diselaraskan oleh Miti sementara MAI akan berperanan sebagai agen koordinasi, perlaksanaan dan pengawasan.

Hala Tuju 2014 akan berperanan sebagai dokumen garis panduan bagi pihak industri, jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi, institusi latihan dan organisasi-organisasi dalam ekosistem automotif tempatan, agar segala usaha yang dirancang semua pihak akan menuju ke satu matlamat perindustrian automotif EEV yang disarankan dalam DAN 2014.

Hala Tuju 2014 telah dibangunkan serentak dengan DAN 2014. Informasi-informasi yang diperlukan bagi merumus kandungan dokumen hala tuju tersebut dikumpulkan semasa perbincangan dan dialog dengan berbagai pihak, khususnya pihak industri automotif tempatan dan pengusaha pengeluaran komponen automotif, dalam merumus DAN 2014.

Justeru perlu ditekan di sini, Hala Tuju 2014 adalah hasil usaha dan kerjasama antara anggota kerja Miti yang berkenaan dan MAI tanpa pelantikan mana-mana konsultan mahupun persediaan belanjawan khusus daripada kerajaan.

Selaku dokumen garis panduan kepada semua organisasi yang berperanan dalam ekosistem automotif tempatan dan juga organisasi lain yang terlibat secara tidak langsung, Hala Tuju 2014 juga bertujuan sebagai sumber asas untuk perbincangan lanjut bagi mendapatkan lebih idea-idea, program-program dan inisiatif tambahan sesuai untuk perlaksanaan.

Justeru, Hala Tuju 2014 adalah satu dokumen yang dinamik dan akan dikaji semula secara berkala selaras dengan arus pembangunan automotif tempatan seterusnya. Oleh yang demikian, MAI dalam waktu terdekat ini akan menjelajah untuk memberikan penerangan kepada organisasi-organisasi terlibat, secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti automotif bagi mendapatkan maklum balas, pendapat dan pandangan serta maklumat lanjut berguna untuk membangunkan perusahaan automotif tempatan.

Enam dokumen

Hala Tuju 2014 mengandungi enam dokumen berasingan yang memberi fokus kepada bidang-bidang yang perlu diberi keutamaan dalam proses transformasi ekosistem automotif tempatan agar hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab automotif EEV dapat dicapai.

Malaysia Hala Tuju Teknologi adalah salah satu dari enam dokumen Hala Tuju 2014.

Dokumen ini membentangkan arah teknologi yang perlu diberi perhatian supaya dapat menyokong penglibatan negara dalam bidang pengeluaran EEV.

Hala tuju ini juga mencadangkan beberapa panduan ke arah rasionalisasi teknologi rangkaian industri pembekal “hijau” automotif tempatan.

Dokumen Hala Tuju Pembangunan Rangkaian Bekalan automotif pula bertujuan mempertingkatkan rangkaian industri pembekal komponen yang berdaya saing, dari sudut efisien dan operasi pengilangan yang berkesan.

Antara kandungan hala tuju ini merangkumi aspek peningkatan kualiti keluaran, pengurusan operasi pengilangan dan perniagaan, di samping meningkatkan kemampuan kerja-kerja ujian dan pengesahan komponen-komponen yang dihasilkan.

Garis panduan ke arah membangunkan sumber tenaga manusia di semua peringkat yang relevan kepada industri automotif tempatan, khusus di bidang teknologi EEV, adalah kandungan penting dalam dokumen Hala Tuju Pembangunan Sumber Manusia.

Hala tuju ini juga menyediakan perancangan ke arah pembangunan khusus tenaga mahir tempatan dalam bidang kejuruteraan pengeluaran automasi bagi komponen-komponen, termasuk enjin serta sistem transmisi, kenderaan hibrid dan juga elektrik.

Penekanan adalah diberikan bagi mengurangkan tenaga kerja asing yang berkemahiran rendah dan diganti dengan tenaga kerja tempatan yang mahir.

Perancangan ini diharap akan meningkatkan pekerja mahir tempatan ke arah taraf pekerja berpendapatan tinggi.

Di antara aktiviti aktiviti dalam sektor selepas jualan, hala tuju khusus bagi membangunkan industri pengeluaran semula, komponen-komponen kenderaan diberi penekanan.

Dokumen hala tuju ini membentangkan garis panduan operasi bagi industri pengeluaran semula, serta mengenal pasti bentuk piawaian dan amalan terbaik yang akan digunakan oleh pengusaha tempatan sejajar dengan rancangan transformasi Malaysia sebagai hab pengeluaran EEV dirantau ini.

Dokumen hala tuju ini juga menyarankan garis panduan dalam mempertingkatkan tahap kitar semula komponen automotif terpakai dalam membantu kerajaan menjayakan rangkaian industri bekalan  tempatan bersifat “hijau”.

Di samping itu pembangunan susun atur “Authorised Treatment Facilities (ATF)” bagi automotif juga diberi penekanan.

Dokumen hala tuju bidang ini memberikan garis panduan ke arah transformasi industri dan perniagaan dalam sektor selepas jualan beroperasi sebagai industri “hijau” iaitu di bidang servis, bekalan komponen dan aksesori dan baik pulih kenderaan.

Dinamik

Bagi mempertingkatkan daya saing syarikat-syarikat Bumiputera dalam industri automotif, satu hala tuju juga dibentangkan dengan rancangan peningkatan mereka dalam bidang teknologi, pembangunan sumber manusia dan penyertaan dalam rangkaian bekalan komponen dengan lebih efektif.

Telah dijelaskan, semua dokumen hala tuju yang dibentangkan adalah bersifat dinamik yang mana garis panduan disarankan akan sentiasa dikaji semula dan diadaptasikan dengan keadaan semasa dalam perkembangan industri automotif serantau.

Ia seumpama peta perjalanan dari satu tempat ke tempat lain.

Walaupun jalan yang sesuai telah dipilih, tetapi mungkin pemandu menukar arah separuh perjalanan sekiranya jalan yang dipilih tersebut ada rintangan seperti kemalangan, banjir, jalan ditutup dan sebagainya.

Kaji semula secara berkala ini akan memastikan DAN 2014 dapat dilaksanakan dengan mencapai matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai hub industri pengeluaran EEV dirantau ini.
http://mai.org.my/v3/index.php?option=com_k2&view=item&id=100:kaji-semula-secara-berkala

No comments:

Post a Comment