Sunday, 31 August 2014

Kearah Mempertingkatkan Daya Saing


Menyusun semula masyarakat Malaysia demi membasmi kemiskinan untuk sama-sama menikmati hasil kekayaan negara adalah teras perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) diawal tahun tujuh puluhan. Langkah pertama yang dilaksanakan pada awal tahun tujuh puluhan ini ialah membuka peluang pelajaran hingga keperingkat tinggi bagi anak-anak muda yang kebanyakannya terpinggir diluar bandar. Banyak biasiswa yang ditawarkan bagi anak bangsa Malaysia yang berkebolehan untuk melanjutkan pelajaran diperingkat ijazah di universiti-universiti tempatan mahupun keluar negera. Disamping itu pertumbuhan ekonomi banyak bergantung kepada hasil bumi dimana tanah-tanah yang tidak diusahakan dijadikan estat-estat kelapa sawit untuk penyusunan semula masyarakat miskin di pendalaman. Perusahaan minyak, getah dan bijih timah memberikan pendapatan lumayan dan digunakan untuk pembangunan negara dan pembangunan sumber manusia.

Menjelang awal tahun lapan puluhan, peluang pekerjaan khususnya dibidang sains dan teknologi amat berkurangan bagi menampung jumlah graduan yang dikeluarkan setiap tahun. Perusahaan berasaskan tani tidak dapat memberikan kepuasan pekerjaan kepada para graduan kecuali perusahaan minyak yang dapat memberi peluang kerja khusus bagi graduan dibidang kejuruteraan petrolium dan bidang-bidang yang bersangkutan dengan aktiviti carigali seperti geologi. Kebanyakkan graduan-graduan kejuruteraan mendapat pekerjaan dibadan-badan kerajaan seperti  JKR, Jabatan Parit dan Taliair, Lembaga Letrik Negara, di universiti-universiti dan lain-lain seupamanya. Menyedari hakikat akan timbulnya masalah sosial dalam masyarakat Malaysia akibat kekurangan peluang pekerjaan, ketidakpuasan dengan bidang kerja dan juga bagi mengelakkan berlakunya penghijrahan bijak pandai, sesuatu usaha harus dilakukan bagi mengujudkan peluang pekerjaan ini. Justeru dasar perindustrian negara di maktubkan dan implimentasinya bermula dengan bagitu cepat pada awal tahun lapan puluhan.

HICOM, “Heavy Industry Corporation of Malaysia”, sebuah syarikat induk ditubuhkan dan dipertanggungjawab untuk membangunkan rangkaian industri-industri sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian menjelang tahun 2020. Projek-projek memproses bahan mentah untuk dijadikan bahan asas keperluan kilang-kilang pembuatan dibangunkan seperti perusahaan besi keluli, PERWAJA, dan beberapa pelaburan usahasama menghasilkan bahan asas plastic dari minyak mentah digalakkan dimana projek-projek ini dibangunkan di kawasan pantai timur. Bagi menampung kegunaan bahan asas ini, industri-industri pemasangan ditubuhkan dan industri-industri kecil dan sederhana tumbuh dengan pesat memproses bahan asas mengeluarkan komponen-komponen keperluan industri pemasangan tersebut. Antara industri-industri pemasangan yang dibangunkan oleh HICOM ialah Proton kemudian diikuti dengan penubuhan Perodua, industri pengeluar enjin kecil motosikal seperti Hicom-Yamaha dan industri pemasangan motosikal seperti Hicom-Honda dan Modenas. Rangkaian projek-projek pengilangan ini berkembang dengan pesat dalam dekad lapan puluhan hingga ke pertengahan dekad kesembilan puluhan. Kejayaan Malaysia dalam dua dekad ini telah menarik mata dunia diatas kemampuan rakyatnya memenuhi hasrat untuk menuju status negara maju. Pertumbuhan ekonomi tahunan dalam dua dekad ini setinggi lebih 8% amat memberangsangkan.

Proses industrilisasi, khususnya perusahaan otomotif, ini telah berjaya meningkatkan kemajuan rakyat tempatan dari semua sudut termasuk dari aspek pengetahuan sains dan teknologi, kemahiran teknikal dan pengilangan, ekonomi mahupun intelektual. Perusahaan automotif yang berteknologi tinggi ini secara langsung telah menyediakan tapak kerja permulaan bagi para graduan kejuruteraan yang berkalibar dan berpotensi ditahun-tahun lapan puluhan dan seterusnya. Kini mereka ini telah berpengalaman dan menjadi pakar teknologi dan juga ahli korporat yang sangat-sangat diperlukan untuk terus membangun negara. Perusahaan otomotif juga telah berjaya mengujudkan, para usahawan dan ahli perniagaan yang mengambil peluang menubuhkan perusahaan mereka dalam memberikan sokongan bekalan komponen kepada industri otomotif tersebut. Bagitu juga dengan perkembangan didalam bidang akadamia di seluruh negara dimana para pelajar diperingkat tinggi mendapat pendedahan latihan praktikal diperusahaan otomotif yang memberikan gambaran dan pendedahan yang lebih meluas didalam bidang teknologi termasuk juga penyelidikan dan pembangunan di bidang teknologi otomotif.

Kalau pada tahun-tahun enam puluhan topik-topik  perbicangan banyak tertumpu kepada sektor hasil bumi semata-mata tetapi proses industrialisasi telah membuka pemikiran dan menambah pengetahuan rakyat Malaysia ketahap yang lebih tinggi sejajar dengan hasrat menuju kearah negara perindustrian dan negara maju. Walau apa pun yang diperkatakan, positif atau negatif, wujudnya sektor otomotif telah menyumbang kearah perubahan dan perkembangan sosial ekonomi rakyat Malaysia dari sebuah masyarakat yang hanya dikenali sebagai pengeluar bahan getah, kelapa sawit dan bijih timah kepada masyarakat perindustrian. Artikal seterusnya akan membincangkan segala cabaran dan rintangan dalam usaha rakyat Malaysia memajukan sektor otomotif ini.

http://mai.org.my/v3/index.php?option=com_k2&view=item&id=96%3Akearah-mempertingkatkan-daya-saing

No comments:

Post a Comment