Monday, 26 May 2014

Rangka Kerja ATF


Pembuangan kenderaan terakhir hayat atau ELV (end of life vehicle) tanpa pengawasan yang betul akan menjejaskan alam sekitar. Bahan-bahan dalam kereta seperti plumbum, asid bateri, minyak pelincir, kimia tambahan, untuk penyejukan enjin, cecair brek, pendingin hawa dan minyak kotak gear perlu dibuang dengan cara yang selamat bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar.

Justeru itu, dengan adanya prosedur pembuangan ELV yang diawasi sebenarnya bakal mewujudkan peluang ekonomi dalam kalangan pengusaha sektor selepas jualan. Bahan buangan dan komponen dari ELV dapat di kitar semula dengan proses pengilangan semula.

Oleh itu adalah sesuai seperti yang dicadangkan dalam Dasar Automotif Negara 2014 supaya satu penstrukturan semula proses pembuangan kenderaan ELV ini diberi perhatian dan di kawal selia pihak berkuasa.

Proses yang dimaksudkan ialah 3R (Reduce, Reuse, Recycle) yang akan berlandaskan kepada konsep operasi Authorized Treatment Facilities (ATF). Rangka kerja ini akan menjadi sumber panduan bagi transformasikan aktiviti-aktiviti perniagaan di sektor selepas jualan khusus daroi sudut penghapusan ELV. Agarsemua yang dipraktikan akan memberikan perhatian terhadap menghijau alam sekitar di samping menentukan kemampanan jangka panjang perniagaan tersebut.

ATF adalah pusat-pusat penghapusan khusus untuk ELV yang diberi lesen operasi oleh pihak berkuasa. Para pengusaha ATF ini berkemampuan memenuhi semua keperluan syarat-syarat kawal selia penghapusan ELV. Di samping itu mereka juga bersedia untuk melabur dalam memastikan alam sekitar sentiasa terjaga dan meningkatkan mutu operasi mereka dalam memeberikan perkhidmatan terbaik menghapuskan semua ELV yang diterima.

Negara maju seperti Kesatuan Eropah telah berjaya memastikan amalan 3R dipraktikkan dengan sempurna di bawah panduan rangka kerja ATF. Di negara-negara tersebut dianggarkan jumlah bahan buangan ELV yang dihapuskan sekitar lapan hingga sembilan juta ton setahun. Satu cadangan 'Arahan Kawal Selia' telah dibentangkan pada 1997 supaya negara-negara dalam Kesatuan Eropah ini dapat menguruskan proses penghapusan ELV yang bersifat mesra alam sekitar. Arahan Kawal Selia ini diterima pakai dan diluluskan sebagai undang-undang oleh Parlimen Kesatuan Eropah pada September 2000 dan dikenali sebagai Directive 2000/53/EC.

Arahan Kawal Selia ini menetapkan langkah-langkah bagaimana aktiviti-aktiviti kutipan , penstoran, rawatan dan pembongkaran harus dijalankan bagi ELV. Di samping itu Arahan Kawal Selia ini menetapkan dengan jelas atur cara bagi aktiviti-aktiviti guna semula dan pulih semula bahan buangan ELV dan komponen-komponen. Ini menggalakkan para pengilang kenderaan mengambil kira aspek kitar semula bagi kenderaan baharu yang dicipta dan dikeluarkan.

Arahan Kawal Selia ini juga memastikan setiap pemilik yang berhasrat untuk menghapuskan kereta supaya menggunakan khidmat ATF yang disediakan. Juga para pengilang atau pengimport kenderaan harus mempunyai ATF sendiri bagi menerima kereta ELV jenama masing-masing atau menggunakan khidmat operator ATF bebas bagi pihak mereka.

Setiap ELV yang dihantar ke ATF akan dikeluarkan sijil penghapusan dan rekod kenderaan tersebut akan dimansuhkan dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan.

ATF juga akan berfungsi sebagai perusahaan membekal bahan-bahan ELV yang boleh dikitar semula kepada kilang-kilang kitar semula. Di samping itu komponen-komponen yang boleh diguna semula akan dibongkar oleh ATF dan dibekalkan kepada perusahaan pengilang semula dan akan memastikan komponen-komponen terpakai ini menepati piawaian yang ditetapkan.

Sekiranya negara dapat melaksanakan rangka kerja ATF ini maka hasilnya bukan sekadar menghijaukan alam sekitar malah akan membuka peluang peluang perniagaan dan pekerjaan di dalam sektor lepas jualan automotif pada masa hadapan.

Bagi menentukan kenderaan itu mencapai status ELV, faktor umur sebenarnya bukanlah kayu pengukur. Ada dua faktor menentukan ELV iaitu: kenderaan yang sudah mengalami kehausan mekanikal, penghakisan dan karat lumrahnya berlaku apabila kenderaan mencecah jangka umur sekitar 12 hingga 14 tahun. Ia dikenali sebagai ELV semula jadi. Keduanya ialah kemalangan jalan raya yang mana tidak dapat dibaiki lagi dari sudut teknikal mahupun ekonomi.
http://mai.org.my/v3/index.php?option=com_k2&view=item&id=110:rangka-kerja-atf

No comments:

Post a Comment