Wednesday, 3 September 2014

Perusahaan Automotif sebagai industri pemangkin perindustrian negara


Malaysia asalnya merupakan negara pertanian dan perlombongan yang terkenal dengan pengeluaran getah dan bijih timah. Kesedaran dikalangan pentadbir negara bermula diakhir-akhir tahun 70an, bahawa negara tidak lagi dapat bergantung kepada ekonomi pertanian dan perlombongan ini untuk mengujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat jelata.

Diawal tahun 80an perusahaan berasaskan tani dan perlombongan tidak dapat memberikan kepuasan pekerjaan kepada para graduan yang jumlahnya sentiasa meningkat setiap tahun. Kewujudan Petronas memberikan peluang pekerjaan yang memuaskan bagi mereka yang berkelulusan dibidang kejuruteraan petrolium dan bidang-bidang yang bersangkutan dengan aktiviti carigali seperti geologi dan sebagainya.

Namun peluang pekerjaan bagi para graduan di bidang-bidang sains, kejuruteraan  dan teknologi lain amat berkurangan. Kebanyakkan graduan-graduan kejuruteraan hanya mendapat pekerjaan dibadan-badan kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Parit dan Taliair, Lembaga Letrik Negara, SIRIM dan institusi-institusi penyelidikan, instutisi-institusi pengajian tinggi dan lain-lain seupamanya.

Menyedari hakikat akan timbulnya masaalah sosial dalam masyarakat Malaysia akibat kekurangan peluang pekerjaan, ketidakpuasan dengan bidang kerja dan juga bagi mengelakkan berlakunya penghijrahan bijak pandai, sesuatu usaha harus dilakukan bagi mengujudkan peluang pekerjaan ini. Justeru dasar perindustrian negara di maktubkan dan implimentasinya bermula pada awal tahun lapan puluhan.

Dasar perindustrian negara bermula dengan penubuhan HICOM, “Heavy Industry Corporation of Malaysia”, sebuah syarikat induk yang dipertanggungjawab untuk membangunkan rangkaian industri-industri sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian menjelang tahun 2020.

HICOM-Honda adalah salah satu perusahaan HICOM pada peringkat awal sektor automotif Malaysia.
Industri memproses bahan mentah untuk dijadikan bahan asas keperluan kilang-kilang pembuatan dibangunkan seperti perusahaan besi keluli seperti PERWAJA sebagai contoh. Disamping itu beberapa pelaburan usahasama menghasilkan bahan asas plastic dari minyak mentah digalakkan dimana projek-projek ini dibangunkan di kawasan pantai timur.

Bagi menggalakkan kegunaan bahan asas ini, industri-industri pemasangan ditubuhkan dan industri-industri kecil dan sederhana tumbuh dengan pesat memproses bahan asas mengeluarkan komponen-komponen keperluan industri pemasangan tersebut.

Justeru industri automotif telah dikenalpasti sebagai “industri pemangkin” yang menggunakan komponen-komponen keluaran tempatan tersebut.  Antara industri-industri pemasangan yang dibangunkan oleh HICOM ialah Proton dan kemudian diikuti dengan penubuhan Perodua, industri pengeluar enjin kecil motosikal seperti Hicom-Yamaha dan industri pemasangan motosikal seperti Hicom-Honda dan Modenas.

Rangkaian projek-projek pengilangan ini berkembang dengan pesat dalam dekat lapan puluhan hingga ke pertengahan dekad kesembilan puluhan. Kejayaan Malaysia dalam dua dekad ini telah menarik mata dunia diatas kemampuan rakyatnya memenuhi hasrat untuk menuju status negara maju pada tahun 2020.

Peroses industrilisasi negara telah berusia hampir tiga dekat dan tidak dapat dinafikan telah berjaya meningkatkan kemajuan rakyat tempatan dari semua sudut termasuk dari aspek pengetahuan sains, kejuruteraan dan teknologi, kemahiran teknikal dan pengilangan, ekonomi mahupun intelektual. Disamping itu usaha ini telah berjaya mengujudkan usahawan dibidang automotif yang sekarang mampu menyokong keperluan bekalan komponen-komponen yang diperlukan oleh kilang-kilang pemasangan kenderaan tempatan.

Berlandaskan kemampuan yang sedia ada Malaysia berkeyakinan mampu untuk menjadi sebagai  hub pengeluar “kenderaan cekap tenaga” atau “Energy Efficient Vehicle (EEV) dirantau ini. Rencana menjadikan Malaysia sebagai hub pengeluaran EEV adalah sebagai industri pemangkin baru yang akan menentukan arah perkembangan industri automotif negera. Disamping itu usaha ini juga akan membuka peranan dan cabaran baru dikalangan komuniti automotif negara agar kemampuan sains dan teknologi, peluang perniagaan dan peluang pekerjaan akan terus meningkat dimasa hadapan.

No comments:

Post a Comment