Search
  • Madani Sahari

Bentuk ekosistem teknologi secara menyeluruh menjangkau industri

Artikel ini diambil dari https://careta.my/ . Baca artikel asal di sini: https://careta.my/article/bentuk-ekosistem-teknologi-secara-menyeluruh-menjangkau-industri


Banyak telah diperkatakan oleh pemegang taruh mengenai masa depan industri automotif negara, terutamanya mengenai pasaran kenderaan elektrik.


Pelbagai cadangan, forum, dan diskusi diajukan oleh pakar-pakar industri, pengguna serta badan kerajaan mengenai cara terbaik bagi Malaysia berganjak ke arah elektriktifikasi sektor automotif dan pengangkutan secara keseluruhan. 


Diskusi ini juga berlaku di dalam rangkaian MARii sendiri, contohnya di dalam podcast MARii serta di saluran-saluran media sosial kami.


Bersandarkan kajian yang dibuat kerajaan dan oleh MARii sendiri, anjakan ke arah penggunaan kenderaan elektrik perlulah diteliti secara berhati-hati - dan sebarang dasar perlulah melihat kepada kepentingan pengguna, pihak industri dan pelan halatuju tenaga negara secara menyeluruh.

Walaupun kebanyakan diskusi ini bertumpukan kepada harga kenderaan elektrik dan ketersediaan kemudahan mengecas, anjakan ini perlu dilihat secara lebih luas. Persoalannya, adakah kita mempunyai suatu ekosistem yang membolehkan suatu anjakan terhadap elektrifikasi?


Secara amnya, kesedaran mengenai ekosistem mobiliti perlu dijana pada dua sudut - iaitu pengguna dan juga rantaian bekalan.


Sudut pengguna merujuk kepada kemudahan pengguna di dalam mengakses gaya hidup mobiliti elektrik. 


Saya tekankan di sini - sepertimana kenderaan konvensional (mempunyai enjin pembakaran dalam), kita perlu melihat aspek pemilikan kenderaan secara keseluruhan - merangkumi harga pembelian, kos bahan bakar, penyelenggaraan, cukai jalan, insurans dan sebagainya.


Dari sudut pemilikan, walaupun harga kenderaan elektrik masih lagi boleh dikatakan tinggi, kos bahan bakar kini digantikan dengan kos elektrik yang jauh lebih murah bagi setiap kilometer. Tambahan pula, penyelenggaraan kenderaan elektrik dapat dikurangkan secara mendadak disebabkan keperluan alat ganti yang lebih rendah berbanding kenderaan konvensional. 

Walau bagaimana pun, kita perlu akur bahawa 300 stesen pengecas yang sudahpun berada di dalam Malaysia tidak akan membawa lonjakan pasaran yang diperlukan bagi menjana permintaan yang secukupnya bagi industri automotif. 


Tambahan pula, teknologi mengecas kian berkembang dengan munculnya sistem pengecas pantas, yang kini dapat memenuhkan kapasiti bateri kereta dalam masa kurang 2 jam.

Ini mengakibatkan komplikasi dari sudut pelaburan kepada kemudahan mengecas bateri, lebih lagi apabila pengguna gelisah dengan jarak pemanduan yang boleh dicapai melalui teknologi yang sedia ada. Selain itu, kaedah penjanaan kuasa elektrik yang masih berasaskan bahan api fosil tidak membawa imbangan kepada ekosistem hijau, malah hanya memindahkan pembakaran bahan api dari kereta ke stesen penjana.


Malahan, sebagai negara yang mempunyai ekonomi yang dipacu sektor automotif, pengenalan sektor kenderaan elektrik tanpa rancangan rapi boleh membawa impak negatif kepada pengeluar tempatan, disebabkan komponen kenderaan elektrik yang berbeza dengan kereta yang menggunakan enjin pembakaran dalam.


MARii sedang giat bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam membangunkan ekosistem ekosistem rantaian bekalan kenderaan elektrik. 

Ekosistem ini bukan sahaja terdiri daripada pengilang kereta, motosikal dan kenderaan komersil mahupun pengeluar komponen, tetapi merangkumi syarikat-syarikat teknologi yang mempunyai kepakaran dalam aplikasi digital yang lebih luas - seiring dengan kenderaan generasi baharu yang bakal mendapat lebih banyak sambutan di masa hadapan. 


Oleh itu, penerapan teknologi memainkan peranan penting di era perubahan pasaran mobiliti di serata dunia. 

Penerapan ini merangkumi pemindahan teknologi, pembangunan modal insan, rangkaian lepas jualan, dan banyak lagi - malahan, turut meliputi pembangunan sistem yang membolehkan pengurusan teknologi dibuat berdasarkan data, maklumat dan analisa yang betul di dalam mencapai keupayaan yang sewajarnya selaras dengan era mobiliti terhubung.


MARii telah membangunkan pelbagai platform teknologi yang membolehkan pemilik perniagaan meningkatkan penerapan teknologi. Program Pembangunan Teknopreneur (TDP - Technopreneur Development Program) telah dilancarkan MARii pada Oktober 2019 bagi memperkasakan penggunaan sistem dan alatan digital di dalam operasi perniagaan.


Platform Teknologi Pintar MARii (MITP – MARii Intelligent Technology Platform) telah dibangunkan MARii bagi membolehkan penggumpulan, analisa dan integrasi data dari segala aspek operasi syarikat, bagi mengenalpasti tren dan corak perniagaan secara lebih tepat – justeru membolehkan rangkuman strategi dan keputusan yang lebih arif dibuat oleh pihak pengurusan.


Program-program ini menjadi suatu tambahan kepada program-program automotif yang dikelola MARii bagi memperkasakan sektor automotif, menjangkau industri ke arah pendigitalan sejagat.


Dasar Automotif Nasional (NAP2020) turut memberi halatuju secara makro bagi memastikan teknologi pacuan elektrik bukan hanya melihat kepada pembuatan kenderaan generasi baharu, tetapi ekosistem mobiliti terhubung yang amat luas. 


Kesimpulannya, untuk membolehkan industri tempatan melonjak ke alaf baru mobiliti, kita sewajarnya perlu melihat kepada ekosistem teknologi secara menyeluruh, di samping menyelesaikan isu-isu asas bagi membentuk industri masa hadapan.

1 view

Have a question?

MAdani Sahari

Chief Executive Officer of the 

Malaysia Robotics, Automotive and IoT

Institute

More pages to follow